Pusat Terapi Al-Aufa NO HP = 0132966257

Sunday, October 9, 2011

Pengenalan dan Sejarah Bekam

Ilmu perubatan adalah satu ilmu yang sangat luas yang perlu dikaji dari semasa ke semasa akibat daripada timbulnya pelbagai penyakit baru yang tidak diketahui ubatnya. Perubatan moden telah membawa kesan yang amat besar keatas semua orang diseluruh dunia. Samaada kesan dari segi kebaikan atau keburukan perubatan itu sendiri. Sudah menjadi tanggungjawab manusia yang memang dianugerahkan akal fikiran untuk menyelesaikan masalah atau penyakit yang timbul. Sememangnya setiap penyakit pasti ada ubatnya sebagaimana hadis telah menyebut:

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”
(Abu Daud)

Dan menjadi tugas pengkaji untuk menyelidik dan mencari jawapan keatas persoalan dan permasalahan yang baru timbul atau berulang-ulang. Dunia perubatan hari ini telah memilih ubatan kimia yang berasaskan dadah sebagai perubatan yang diberi nama perubatan moden dengan menyisihkan perubatan-perubatan jenis lain dan dinamakan sebagai perubatan alternatif. lalu timbullah isu penyakit ini dan ini tidak ada ubatnya. Sehingga ada pesakit yang berputus asa atas doktrin yang telah lama terbenam dalam benak hatinya lalu melupakan kalimah yang keluar dari hadis-hadis Rasulullah dan juga ayat-ayat suci Al-Quran.

Demikian adalah ajaran Baginda Rasulullah yang mana telah melafazkan kata-kata seperti berikut.

Dari Ibnu 'Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Sesungguhnya sebaik-baik sarana yang kalian gunakan untuk berubat adalah bekam, al-kist dan syuniz"
(lihat Kasyful Astaar 'an Zawaaa-idil Bazaar)

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya dengan berbekam itu terdapat kesembuhan."
(Lihat Mukhtashar Muslim, Shahiihul Jaami' dan Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah)

Dari Ibnu 'Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jika ada suatu kesembuhan pada perubatan kalian maka pengubatan itu terdapat pada hirisan alat bekam atau dengan meminum madu"
(Lihat Kasyful Astaar 'an Zawaa-idil Bazzar)

Jelas dalam agama yang menyeluruh ini telah memberi panduan kepada penganut-penganutnya demi menjaga kesihatan fizikal dan mental khususnya dalam ilmu perubatan. Sejauh mana kebenaran hadis ini adalah menjadi persoalan biasa yang perlu dihurai untuk meyakinkan seluruh masyarakat tentang perubatan yang telah digariskan dalam islam ini.

Justeru itu, saranan ini perlu dikaji bahkan telah dikaji oleh ramai saintis termasuklah yang bukan muslim dengan rasa tanggungjawab untuk mencari apakah perubatan yang terbaik.

Kajian tidak sepatutnya berkisar terlalu sempit didalam perubatan alopati. Sehinggakan terlalu banyak permasalahan penyakit sehinggakan emberi tekanan kepada pakar-pakar perubatan moden. Sebagaimana yang telah diungkapkan oleh Doktor Helena Abdullah(1997) dalam bukunya, perubatan moden bersama dengan peradaban barat mempengaruhi kehidupan kita samaada dalam bentuk fizikal atau spiritual. Beliau juga menjelaskan tentang perlunya kita kembali kepada perubatan tradisional yang telah diketepikan sekian lama akibat daripada kesan sampingan perubatan moden, bahana dadah dan antibiotik.



Maksud bekam

Bekam merupakan salah satu warisan perubatan Islam yang dianjurkan oleh Rasullullah s.a.w. Mengikut definisi yang diberikan oleh Dr Nik Fairuz Hakim Nik Omar(2010), dari Pusat Perubatan Homeopathy dan Akupuntur Dr Nik Omar, Shah Alam, bekam adalah kaedah rawatan yang menggunakan alat seperti gelas, tanduk atau buluh yang menyedut permukaan kulit untuk mengeluarkan angin, darah, toksik, darah beku atau kekotoran.
Menurut kamus dewan pula, bekam ialah mengeluarkan darah dari tubuh seseorang dengan cara membedah sedikit pada kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelengkupkan pada tempat yang dibedah itu.
Menurut Dr. Helena (1997) dalam bukunya, bekam dalam bahasa Arab dikenali sebagai Al-Hijamah atau Cupping dalam bahasa inggeris yang bermaksud satu kaedah pembersihan darah atau angin dengan megeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan dengan berbagai alat seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buloh, gelas atau yang paling moden dengan mengunakan alat vakum moden yang bersih dan suci.


Sejarah Bekam

Bekam telah wujud sejak zaman Tamadun Mesir Kuno lagi sebagaimana yang telah ditulis dalam jurnal “Chronic Stress In Unani Prospektive” petikan (U.Jahangir, etc.2007). Dalam jurnal tersebut menyatakan kaedah perubatan tamadun tersebut adalah satu prospektif perubatan yang terbukti berkesan merawat stres semenjak zaman Hippocrates (460-377 SM) 3000 tahun dahulu dan juga menyatakan pakej perawatan yang digunakan adalah seperti hidroterapi, urutan, terapi muzik, veinsection, sauna, ubat-ubatan termasuklah kaedah rawatan bekam.

Teori perubatan tamadun ini mengamalkan perawatan yang menyeluruh terhadap pesakitnya. Perawatan ini diformulasikan oleh Hippocrates(Helena,1997) Teori ini seterusnya telah digubah oleh tamadun Greek, Rom, Mesir, Babylon dan Arab. Gubahan seterusnya telah dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji dari India dan China. Oleh itu, boleh dikatakan, perubatan tamadun dahulu telah menjadi revolusi dimana didalamnya terkandung seluruh pengetahuan ilmu perubatan dari pelbagai tamadun.
Hippocrates merupakan seorang pakar perubatan yang berasal dari Greek, Yunani. Beliau digelarkan "Bapa Perubatan" kerana kepakarannya dalam bidang perubatan dan telah menghasilkan formula-formula baru pada zaman beliau. Beliau ialah salah seorang pakar perubatan Yunani yang paling terkenal pada zamannya. Karya yang dikatakan tulisanya iaitu Corpus hippocraticum, atau "Karya-karya Hippocrates" menolak kepercayaan karut dan beliau merupakan mengasaskan perubatan sebagai satu cabang sains (Harry E,1964)

Ilmu perubatan yang diformulakan oleh Hippocrates kemudiannya tersebar luas dan berpindah dari tamadun ke tamadun yang seterusnya. Pengaruh perubatan Greek ini bertapak pula di Rome Purba seawal zaman Celsus (53 SM – 7 M). Pengaruh yang kuat dengan kejayaannya dalam menyembuhkan penyakit menjadikan persepsi masyarakat pada masa itu sebagai ‘penawar segala penyakit’.

Kira-kira pada abad yang ke 7 M, tapak-tapak tamadun gemilang telah mulai runtuh yang disebabkan oleh peperangan, penyakit yang merebak melanda masyarakatnya dan serangan puak Barbarian yang merentas pergunungan Alps, lalu menyerang Itali dan meruntuhkan empayar Rom. (Ismail Saad et al.1985)

Kemegahan dan kecemerlangan ilmu pada zaman kegemilangan kerajaan Rom selepas itu terhapus dan hanya dipelajari di gereja tertentu sahaja dalam keadaan yang amat daif. Kemajuan fikiran perubatan yang berasaskan prinsip-prinsip penganalisaan dan pengalaman dibentuk dari konsep aliran hippocrates serta diperkembangkan oleh tamadun-tamadun selepas tamadun Greek telah lumpuh. (Ismail Saad et al.1985)
Syria memainkan peranan yang sungguh berjasa kerana menjaga dan memelihara pemikiran ilmu perubatan berasaskan Hippocrates ini. Mereka menterjemah karya-karya perubatan tersebut kepada bahasa Syria dan seterusnya mengembangkannya dari Syria ke Mesopotamia. (Ismail Saad et al.1985)

Setelah ditindas oleh kerana kepercayaan keagamaan mereka dan diusir dari Syria mereka berhijrah ke negara Parsi pula yang menjadi tempat tertubuhnya suatu pusat pengajian perubatan yang bertapak di Jundishapur. Pusat inilah yang menjadi tapak pendidikan perubatan pada masa itu. Pusat ini telah mendidik doktor-doktor yang ternama seperti yang ternama seperti tokoh-tokoh dari keluarga Bakhitischu, Hunain, Mesue, dan lain-lain dan mereka ini berhijrah pula ke baghdad setelah pusat pendidikan perubatan di Jundishapur merosot pada abad ke-9 M.

Setelah terbina pusat perubatan di Jundishapur, ilmu perubatan yang diformulakan oleh Hippocrates tadi tersebar dengan meluasnya sehingga ke Semenanjung Tanah Arab. Dikata pusat perubatan ini merosot apabila kerajaan islam berjaya menawan Rom dan Parsi. Seterusnya perubatan ini berpusat di Kota Baghdad yang terletak di Madinah, iaitu negara islam pertama. Buku-buku perubatan aliran Hippocrates diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab dan menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu (Ismail Saad et al.1985). Peristiwa ini telah menjadikan pusat perubatan di kota Baghdad lebih menjadi tumpuan berbanding pusat perubatan di Jundishapur tambahan pula dengan tersebarnya ajaran islam ke seluruh dunia.

Bekam berasal daripada perubatan kuno Greek, akan tetapi ia lebih terkenal dengan perubatan islam. Ini mungkin kerana ajaran islam telah meletakkan perawatan dengan berbekam sebagai suatu keutamaan. Banyak hadis-hadis yang tertulis dalam kitab-kitab lama seperti sahih bukhari, sahih muslim, sunan ibnu majah, sunan an-nasa`i, sunan abu daud, dan banyak lagi yang menjadi rujukan kedua umat islam selepas Al-Quran menyuruh berbekam. Petikan hadis yang lebih tepat dalam sunan Ibnu Majah iaitu:

Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a., beliau berkata:
"Rasulullah saw pernah menyampaikan sebuah hadis tentang malam di mana baginda s.a.w. diperjalankan bahawa baginda s.a.w. tidak melalui sejumlah Malaikat melainkan mereka semuanya menyuruh baginda s.a.w. dengan mengatakan 'Perintahkanlah umatmu untuk berbekam".
(Sunan Ibnu Majah, Kitab Ath-Thibb, 3477. Hadis shahih)

Manakala hadis yang hampir sama juga ada ditemui dan diriwayatkan oleh Para Sahabat Baginda Rasulullah s.a.w iaitu:

Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidaklah aku melalui satu dari langit-langit yang ada melainkan para Malaikat mengatakan 'Hai Muhammad, perintahkan umat mu untuk berbekam, kerana sebaik-baik rawatan yang kalian gunakan untuk berubat adalah berbekam"
(Kasyul Astaar 'an Zawaa-idil Bazar)